assalamualaikum dan salam sejahtera buat warga pembaca.
1. Kisah Tragedi Sang Kadet
berikutan kisah tragedi malang yang telah menimpa seorang kadet sebuah universiti tempatan tempoh hari sehingga menyebabkan kematian tragis beliau, kebanyakan rakyat Malaysia telah menyatakan rasa duka cita mereka terhadap peristiwa tersebut. tidak kurang juga terdapat segelintir daripada mereka yang mengecam sekeras-kerasnya tindakan pembulian beramai-ramai (mass bullying) tidak bermoral tersebut.
2. Sisi Kebaikan dan Keburukan
adalah perlu diperjelaskan serta difahami bahawa tidak dinafikan setiap institusi pendidikan di Malaysia bahkan di seluruh dunia terdapat SISI KEBAIKAN DAN KEBURUKAN masing-masing.
‘there’re pros and contras in every institutional and organization ever built.’ hal ini merupakan suatu fakta yang tidak boleh disangkal sama sekali.
namun demikian, apa yang menimbulkan isu dan persoalan di sini, mengapakah dan bagaimanakah tindakan tidak bermoral dan penuh kezaliman sebegitu rupa boleh terlepas daripada pengetahuan pengurusan atasan institusi terbabit? bahkan menurut segelintir pihak yang pernah bernaung di bawahnya, hal sebegini dianggap wajar dan telah menjadi budaya yang sudahpun berakar umbi dengan kukuhnya. sekali lagi ingin dinyatakan, fakta yang tidak diragui dan tidak dapat dinafikan bahawa institusi pengajian tersebut merupakan antara yang terhebat dalam menghasilkan barisan pejuang yang bakal menjadi perisai dan benteng kukuh dalam mempertahankan kedaulatan negara.
3. Perwira Negara Yang Tangguh dan Tahan Cabaran
oleh yang demikian, sudah menjadi adat dan tradisi dalam mana-mana program ketenteraan yang diperkenalkan dalam negara ini dengan mengaplikasikan dan melaksanakan modul-modul latihan fizikal serta mental yang keras dan lasak agar mampu menempa dan berjaya melahirkan para perwira negara yang sentiasa bersifat tangguh dan tahan akan cabaran. lagi pula, apa gunanya menjadi kadet atau tentera sesebuah negara jika tidak mampu menanggung perit-getir dalam setiap cabaran yang telah diberikan? dan apakah jaminan keselamatan mampu dipertahankan dan rahsia negara terhindar daripada kebocoran jika barisan pertahanannya sendiri lemah dan rapuh (vulnerability of the 1st line of defense)?
4. ‘Latihan Keras’ dan Pembantaian Berjemaah
akan tetapi menurut situasi yang berlaku, adalah tidak rasional sama sekali jika pembantaian beramai-ramai telah dilakukan selama DUA (2) HARI BERTURUT-TURUT oleh seluruh ahli skuad ke atas salah seorang daripada rakan 1 skuadnya hanya disebabkan oleh tuduhan yang tidak berasas sama sekali? dan lebih malangnya lagi, tidak cukup dengan itu, ‘LATIHAN KERAS’ tersebut terus ditambah dengan MENEKAP SETERIKA STIM PANAS ke atas tubuh mangsa sehingga menyebabkan 80% daripada tubuh mangsa MELECUR TAHAP KETIGA (3rd degree burn). kecederaan parah tersebut kemudiannya dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya (hanya dihantar ke klinik biasa) sehingga tertangguh hampir dua (2) minggu sebelum mereka bertindak untuk menghantar rakan mereka ke hospital (tanpa pemakluman awal kepada pegawai atasan mereka).
5. Murahnya Nilai Nyawa Seorang Manusia
apa yang mengejutkan sekali lagi, tindakan tidak berperikemanusiaan dan penuh kezaliman tersebut dilakukan hanya dek kerana mangsa dituduh secara semberono (tanpa bukti yang jelas – hanya berpandukan ‘ramalan’ seorang bomoh) telah mencuri dan menyebabkan kehilangan sebuah laptop milik suspek utama. adakah patut si mangsa akhirnya terpaksa menanggung dan membayar tuduhan tersebut dengan nilai nyawanya sendiri?
6. One For All, All For One
menurut beberapa alumni yang pernah dan bangga menjejakkan kaki di institusi berkenaan, bantuan kewangan yang diperoleh sepanjang program pengajian mereka teramatlah lumayan sekali sehinggakan mereka mampu untuk menyimpan hampir puluhan ribu ringgit seusai mereka menamatkan pengajian dan bergelar graduan. oleh itu, yang menjadi kemusykilan, apakah suspek utama tidak mampu untuk menukar ganti asetnya dengan yang baru sehinggakan menjadi gelap mata serta sanggup untuk membelasah dengan sadis dan menzalimi rakan 1 skuadnya sendiri yang dikatakan dan diikrarkan akan sentiasa menjaga kebajikan sesama sendiri; dan akhirnya menyebabkan kematian tragik beliau?
7. Dipaksa dan Terpaksa
menurut sebilangan daripada mereka yang telah ditahan, tindakan membelasah dan mendera mangsa adalah atas 'perintah' dan paksaan suspek utama. adakah relevan kenyataan tersebut andainya mereka berada di medan perang suatu ketika nanti? ketika mana terdapat rakan sepasukan mereka mengarahkan mereka untuk melaksanakan suatu tindakan yang bakal menggagalkan misi mereka malah mengorbankan nyawa keseluruhan ahli skuad mereka? adakah mereka masih ingin mengmabil risiko sedemikian?
8. Membelakangkan Pegawai Atasan
sepertimana yang telah diperjelaskan, tindakan mereka membawa mangsa ke hospital (setelah menyeksa dan menzalimi mangsa) adalah tanpa pemakluman terlebih dahulu dan persetujuan pegawai atasan mereka. bukankah menjadi suatu kesalahan fatal dalam polisi ketenteraan apabila pegawai atasan (commanding officer) tidak dimaklumkan terlebih dahulu sekiranya terdapat mana-mana ahli skuad telah atau ingin melakukan sesuatu yang membabitkan kemaslahatan rakan sepasukannya yang lain? dan sepanjang tempoh 2 minggu mangsa ‘dizalimi’, adakah tiada seorangpun yang mengesaki atau melaporkan keadaan mangsa kepada pegawai atasan mereka? mungkinkah terdapat kebarangkalian (walaupun tipis) mangsa masih mampu diselamatkan sekiranya keseluruhan ahli skuad yang telah berkomplot untuk menzalimi hidupnya telah mengambil tindakan yang lebih matang dan berkesan, seperti memaklumkan dengan kadar segera kepada pihak pengurusan dan memberikan bantuan perubatan dengan kadar segera?
9. ‘Bonding’ Yang Lebih Kuat
analogi mudah : andai kata anda dipilih dan disenarai-pendekkan untuk menyertai suatu program bina diri dalam tempoh masa yang panjang, di mana segala aktiviti yang telah disusun-atur serta segala hukuman mahupun ganjaran yang bakal diberikan wajib dilaksanakan secara kolektif, tanpa seorangpun daripada ahli kumpulan akan diberikan pengecualian. adakah berkemungkinan di akhir atau sepanjang tempoh program tersebut dilaksanakan, jalinan ikatan di antara setiap ahli kumpulan akan bertambah erat dan kukuh?
10. Pemilihan Yang Terbaik di Kalangan Yang Terbaik
memang sudah menjadi lumrah dalam menghasilkan sesebuah organisasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang; setiap ahlinya perlulah terdiri daripada kalangan yang terbaik dalam segenap aspek juga.
namun begitu, walaupun setiap ujian kelayakan berjaya diatasi, hal itu masih tidak menjamin ‘produk’ yang terpilih tersebut melengkapi kesemua aspek yang telah ditetapkan. di samping itu, mentaliti sebegini hanya akan melahirkan kelompok manusia yang akan merasakan merekalah ‘the cream of nation’. kesan langsung daripadanya bakal melahirkan warga organisasi yang tidak berkualiti (creating havoc and catastrophic) dan sentiasa ego kerana sering merasakan dirinya serba hebat dan penuh bergaya (egotistical behaviour).
dan yang lebih menduka-citakan lagi, walaupun golongan ini dikatakan terbaik di kalangan yang terbaik, perkara-perkara berkaitan agama (fardhu ain dan menjauhi syirik – dikatakan sanggup mempercayai ‘ramalan’ bomoh sepenuhnya) yang menjadi teras dalam nilai-nilai peradaban dan akhlak manusia sejagat tidak diambil serius dan hanya dipandang enteng semata-mata.
‘apabila telah rosaknya agama, maka hilanglah integriti dan moraliti.’
sebagai konklusinya, amatlah tidak wajar sama sekali apabila kita yang berada di luar sesebuah institusi bertindak dengan menghukum secara pukal dan total keseluruhan institusi terbabit sebagai rosak dan gagal hanya disebabkan oleh segelintir kecil daripada kalangan warganya yang bermasalah. jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. sedangkan dalam setandan pisang, ada juga yang tidak baik.
namun, janganlah juga kita sekadar memejamkan penglihatan, menulikan pendengarkan dan membisukan pembicaraan dalam menyatakan isu-isu tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan sebegini wujud dalam sesebuah institusi bahkan dalam kalangan masyarakat setempat. hal seumpama ini sekiranya tidak dibendung bakal menjadi barah yang akan merosakkan sistem kehidupan yang telah dibina kukuh serta bakal dianggap tradisi yang selayaknya dipertahankan dan diwariskan dari generasi ke generasi.
‘apabila hilangnya adab, maka hilanglah akhlak.’
rentetan daripada kisah ini : | Link 1 | Link 2 | Link 3 | Link 4 | Link 5 |